(suasana hari terakhir persekolahan sebelum cuti akhir tahun bermula)
Suasana bilik darjah 3 Cemerlang riuh rendah dengan suara rakan-rakan yang berbual sesama mereka. Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan sessi 2011 sebelum sekolah di tutup selama sebulan setengah sempena cuti akhir tahun. Apatah lagi guru-guru juga sudah tidak masuk ke kelas untuk memantau gelagat murid-murid.
Aysha tidak tahu apa yang kawan-kawannya sedang bualkan. Kalau bukan bercerita fasal artis-artis pujaan mereka, pastinya tentang percutian ke mana-mana destinasi di dalam dan luar negara. Malas dia mahu ambil tahu. Lebih baik dia habiskan novel Seindah Nama Ana karya Ruby Hazri yang mummy beli bulan lepas. Mummy sudah berjanji akan membeli novel Hotel Meow-Meow karya Imaen pula jika dia habis baca buku ini. Seronoknya.“Aysha, cuti sekolah nanti awak buat apa?”
Aysha yang sedang khusyuk membaca dikejutkan oleh sapaan Syafikah. Dia tidak perasan sejak bila Syafikah yang sebelum ini sedang leka berborak dengan Zalika sudah duduk di bangku sebelah Aysha yang kosong. Aysha meletakkan penanda buku bagi memudahkannya ingat muka surat terakhir yang dia baca sebelum menutupnya. Mummy sudah pesan buku jangan dilipat. Bahkan mummy akan balutkan dahulu dengan plastik sebelum beri Aysha baca, supaya buku tahan lama dan tidak cepat rosak.
“Tak pasti lagilah. Mummy kata mahu hantar saya balik kampung. Mummy mahu saya mengaji Quran dengan Tok Wan” balas Aysha perlahan.
“Ala bosannya!”
“Cuti kali ini awak akan ke mana pula?” Soal Aysha bagi mengalih topik tentang dia yang akan dihantar balik kampung selama sebulan nanti. Ya, mesti bosankan duduk di kampung yang tak ada apa-apa. Komputer tak ada, line internet lagilah tak ada, jadi bagaimana dia mahu berchatting dengan kawan-kawannya nanti? Memikirkan tentang kemungkinan dia akan dilanda bosan, membuatkan dia lagi rasa tertekan.
“Oh! Ayah saya sudah berjanji akan membawa kami sekeluarga bercuti ke Pulau Langkawi" Dengan rasa teruja Syafikah terus bercerita tentang tempat-tempat menarik yang dia akan pergi nanti.
Kkkrrrriiiiiiiiiinnnnnnnnnnnggggggggg
Bunyi loceng menandakan sessi persekolahan untuk hari itu telah berakhir. Dengan itu, bermulalah cuti sekolah. Memikirkan tentang cuti sekolah, hati Aysha bertambah sedih. Sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawan baiknya, dan yang paling sedih dia akan dihantar ke kampung!